Tuesday, April 5, 2022

HADIS 1 (BAB 1)

 

BAB 1

 

بَابُ اتِّبَاعِ سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

IKUT SUNNAH RASULULLAH SAW.


PENJELASAN

[1] maksud dengan سنة dari sudut Bahasa adalah JALAN dan ADAT kebiasaan. Maksudnya dari sudut istilah adalah sebarang perkara yang disandarkan kepada Nabi saw, sama ada dari perkataan, perbuatan atau iqrar.

 

[2] Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa maksud Sunnah juga adalah sandaran agama kedua selepas al-Quran. Atas makna itu, Sunnah bermaksud sebagai salah satu sumber syariah.  


HADIS 1

 

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، قَالَ: حَدَّثَنَا شَرِيكٌ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَخُذُوهُ، وَمَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا»

"Apa yang aku perintahkan maka ambillah, dan apa yang aku larang maka tinggalkanlah”

 

STATUS: Doif sanad, sahih matan.

 

PENJELASAN HADIS

 

[1] Nabi saw menjelaskan bahawa sebarang perkara yang nabi saw suruh, maka itu perlu diamalkan. Apa pun perkara yang Nabi saw larang dari dilakukan, maka manusia perlu hentikan.

 

[2] Dalam hadis, nabi saw nyatakan مَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ—apa yang aku suruh kamu lakukannya; bermaksud perkara yang berbentuk perkataan nabi saw yang berbentuk suruhan, sama ada wajib atau sunat.

 

Ini bermaksud, bukan semua perkara yang dilakukan oleh Nabi, manusia boleh lakukan, seperti hal-hal yang melibatkan khususiyat al-Rasul saw.

 

[3] Dalam hadis, nabi saw berkata وَمَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ—perkara yang aku tegah dan larang kamu dari lakukannya, sama ada dalam hal haram ataupun perkara makruh.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[5] ABU BAKAR ABDULLAH BIN MUHAMMAD BIN ABI SYAIBAH (159-235H)

 

أَبُو بَكْرِ عبد الله بن محمد بن أَبِي شَيْبَةَ

 

Dia adalah abang kepada Osman bin Abi Syaibah, bapa kepada IBRAHIM BIN ABI BAKAR dan bapa saudara kepada ABU JA’FAR MUHAMMAD BIN OSMAN.

 

 Dia dilahirkan di Wasit (Iraq) dan meninggal di kufah. Dia pernah sampai ke Damsyiq. Dia adalah pengarang kitab “Musannaf Ibn Abi Syaibah”.

 

Dalam kalangan ulama hadis menggelarkannya sebagai SAYYID AL-HUFFAZ, iaitu penghulu bagi segala penghafaz hadis. Dia bukan sekadar terkenal dalam bidang hadis, malah terkenal juga dalam bidang tafsir al-Quran.

 

Dalam kalangan imam al-Kutub al-Sittah itu, hanya Imam al-tarmizi sahaja tidak riwayatkan hadisnya. Ibn Majah pula, meriwayatkan hadisnya dengan perantara.

 

Walaubagaimana pun, dia perawi yang sahih.

 

[4] SYARIK BIN ABDULLAH (95H-177H)

شَرِيكٌ ابن عبدالله

 

Nama penuhnya adalah SYARIK BIN ABDULLAH BIN AL-HARIS AL-NAKHASIE AL-KUFI.

 

Ada dakwaan mengatakan, nama sebenarnya adalah AUS BIN AL-HARIS AL-NAKHAIE yang digelar dengan ABU ABDULLAH AL-KUFI.

 

Pada tahun 153 hijrah, dia dilantik jadi Qadhi di era pemerintahan Abu Ja’far ABDULLAH AL-MANSUR BIN MUHAMMAD, iaitu khalifah ke-10 selepas nabi, atau khalifah ke-2 di era Abbasiyyah; dia adalah orang yang membangunkan daulah abbasiyyah. Namun, dia digugurkan selepas itu.

 

Pada era khalifah Abbasiyyah ke-3, AL-MAHDI BILLAH, MUHAMMAD BIN ABDILLAH AL-MANSUR, dia dilantik pula. Namun, digugurkan pula oleh MUSA AL-HADI BIN ABU ABDILLAH MUHAMMAD AL-MAHDI BIN ABU JA’FAR ABDULLAH AL-MANSUR, khalifah ke-4 Abbasiyyah.

 

Dia diakui siqah oleh al-‘Ijli, Ibrahim al-Harbi dan Ibn Ma’in. Cuma, Ibn Ma’in kata, dia siqah soduq yang ada buat silap. Apabila dia menyalahi orang lain, pendapat orang lain lebih disukai.

 

Ibn Sa’ad kata, dia siqah dan ma’mun dan banyak meriwayatkan hadis. Tetapi, dia ada buat silap. Perkara yang sama ditegaskan oleh Abu Zur’ah. Ibrahim bin Sa’ad kata, dia ada silap sebanyak 400 hadis.

 

Ibn Hibban pula kata, pada akhir umurnya dia ada buat buat silap, iaitu berlaku ikhtilat. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, dia ikhtilat itu berlaku semenjak dia menjadi Qadhi di Kufah.

 

Riwayat dia semasa dia muda, tidak berlaku ikhtilat. Tetapi, orang di kufah yang ambil hadis dengan dia; ketika itu, dia sudah ikhtilat, yang banyak waham dalam periwayatannya. Dengan itu, al-Nasaie kata, dia tidak kuat. Yaaqub bin Sufyan kata, dia siqah tetapi hafalannya buruk. Al-Azdi kata, dia cenderung kepada melampau dalam mazhab, buruk hafalan dan mudhtarib hadis.

 

Dia adalah rijal Abu Daud, al-tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah. Namanya ada dalam muslim pun sekadar mutaba-ah sahaja. Didapati namanya tidak ada ada riwayat al-Bukhari.

 

Dia adalah perawi siqah lagi sahih dan diterima riwayatnya sebelum dia ikhtilat. Iaitu, riwayatnya diterima semasa dia di wasit. Tetapi, tidak diterima semenjak dia menjadi qadhi di Kufah.

 

[3] SULAIMAN BIN MIHRAN AL-A’MASH (61H-148H)

 سليمان بن مهران الْأَعْمَشِ

 

 Dia adalah rijal Kutub al-Sittah. Dia dilahirkan di Tabaristan dan meninggal dunia di Kufah. Namun, dikatakan asal dari keturunan Iran. Menurut dakwaan ramai bahawa dia dilahirkan pada hari Saidina Husain dibunuh, iaitu pada 10 Muharram tahun 61 hijrah. Dikatakan juga bahawa bapanya ada di tempat pembunuhan Saidina Husain itu. Dikatakan, dia dilahirkan di perkampungan ibunya di Tabaristan (sekarang dibawah Iran)

 

Semasa kecil, keluarganya telah membawanya berhijrah ke Kufah pada tahun 61H. Ada dakwaan menyatakan, ketika itu dia belum lagi dilahirkan, bahkan masih dalam kandungan ibunya lagi.

 

Dia dikenal sebagai al-‘amash kerana semenjak kecil, dia dihinggapi penyakit mata yang dalam perkataan al-A’mash bermaksud mata selalu kelihatan berair.

 

Dia adalah Tabiin yang digelar oleh al-Zahabi sebagai Syaikh al-Muhaddisin (guru segala ulama hadis).  Dia bukan sekadar alim dalam bidang hadis, malahan alim dalam bidang al-Quran, Qiraat dan ilmu Faraid. Dia terkenal dengan kuat beribadat.

 

Al-Zahabi kata, sulaiman selalu buat tadlis. Kadangkala dia tadlis dari perawi lemah tanpa dia tahu.

 

Apabila dia kata: haddasana, itu tidak mengapa. Tetapi, apabila dia kata, عن maka itu ada kemungkinan ada tadlis.

 

Namun, tadlis dia tidak menjadi salah jika dia ambil dari guru-guru hebat seperti Ibrahim, Ibn Abi Wail, Abi Soleh al-Siman. Semua ini, ada kemungkinan sanad bersambung. (NAQD MUTUN AL-AHADIS I’NDA AL-HAFIZ IBN KATHIR FI KITABIHI AL-QURAN AL-AZIM, Dr. Wadhah Abd al-hadis Abd al-Rahman al-Muri. (tesis master), hlm 246)

 

Komen Syaikh Khalid al-Darayyis, kalau al-A’mash tidak sarih kata dia dengar dari jalur yang diyakini, maka itu perlu dilihat pada dua bahagian

 

Satu: عنعنة yang ada kemungkinan bersambung sanad.

 

a.                  Iaitu, jika dikeluarkan dari sahih bukhari dan muslim sebagai usul, bukan sebagai syawahid dan mutaba-ah.

 

b.                  Boleh diterima, jika dari kitab Sahih ibn Hibban. Kerana, Ibn Hibban pernah kata dalam muqaddimah kitabnya, bahawa dia tidak akan keluarkan hadis yang mudallis kecuali dia dapati ada wajah lain yang سماع.

 

c.                   Syu’bah yang ambil hadis dari al-A’masy boleh diterima, walaupun guna عن kerana riwayat itu mesti dia pernah dengar hadis.

 

d.                  Hafs bin Ghiyas yang ambil hadis dari al-A’mash.

 

e.                  Apabila A’masy riwayat hadis yang tidak ada sebarang pengkritik hadis mengkritik hadis terbabit, serta tidak ada mungkar pada matan hadis tersebut, maka عنعنة al-A’mash itu adalah bersambung sanad.

 

Kedua: kemungkinan tidak bersambung sanad.

 

a.                   Iaitu, jika dalam jalur lain terdapat ia tidak tadlis. Seperti dia bawa dalam jalur lain menggunakan حدثت atau بلغني dll. Maka sanad yang guna عنعنة dianggap terputus sanad.

 

b.                  Dilihat kepada guru-guru tertentu seperti Mujahid. Dia pernah kata, dia tidak dengar hadis dari mujahid kecuali 4 hadis sahaja.

 

c.                   Begitujuga, guru bernama SAID BIN JUBAIR. Itu perlu disebut حدثنا maka boleh dianggap muttasil. Jika sekadar عن maka hadisnya terputus sanad.

 

d.                  Jika hadis itu, matannya mungkar, seperti hadis yang ada perawi ahli bid’ah yang kandungan matannya mengangkat kebid’ahannya.

 

e.                  Contohnya: al-Bukhari illatkan hadis riwayat al-‘Amash yang ambil hadis dari Salim yang berkaitan dengan kesyiahan.  (NAQD MUTUN AL-AHADIS I’NDA AL-HAFIZ IBN KATHIR FI KITABIHI AL-QURAN AL-AZIM, Dr. Wadhah Abd al-hadis Abd al-Rahman al-Muri. (tesis master), hlm 250)

 

[2] ABU SOLEH ZAKWAN AL-SAMMAN (101H)

أَبو صَالِحٍ ذكوان السمان

 

Tidak diketahui tahun lahirnya secara tepat. Namun, rata-rata ulama hadis menyatakan bahawa dia dilahirkan di era pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab.

 

Dia adalah tabiin dan merupakan bekas hamba kepada Juwariyyah binti al-haris, salah seorang isteri Nabi saw. Dia juga adalah rijal kutub al-Sittah.

 

Digelar al-Samman yang berasal dari kata السمن iaitu minyak sapi kerana dikatakan dia mengambil minyak dan minyak sapi dan menjual ke Kufah.

 

[1] SAHABAT: ABU HURAIRAH (21SH-59H)

  أَبو هُرَيْرَةَ

 

Dia dilahirkan di Yaman dari etnik DUS AL-AZDIYYAH دوس الأزدية dan meninggal dunia di Madinah, dan kuburnya di Baqi’.

 

Sebelum memeluk Islam, namanya Abdul al-Syams bin Sakhar. Setelah memeluk islam, namanya ditukar kepada Abdul Rahman bin Sakhar.

 

Ada banyak riwayat menyatakan nama beliau dengan nama yang lain. Ada riwayat menyatakan, namanya Abdul Rahman bin Ghanm, ada kata Abdun bin Ghanm dan banyak lagi.

 

Sebab beliau digelar Abu Hurairah kerana kecenderungannya yang amat kuat dalam menyanyanyi anak-anak kucing. Dalam sebutan Arab, perkataan Hurairah bermaksud anak kucing yang kecil.

 

Dia memeluk Islam setelah mendengar ajaran Islam melalui seorang sahabat bernama AL-TUFAIL BIN AMRU AL-DUSI.

 

Selepas peluk islam tahun 7 hijrah, dia hijrah dari Yaman ke Madinah bersama beberapa orang dari etnik Dusi.

 

Dia sampai di Madinah semasa penduduk Madinah sedang sebuk perang Khaibar yang dengan itu menyebabkan ulama Islam khilaf berkenaan keterlibatan dia dalam perang tersebut. Imam Ibn Abdul Bar kata, dia terlibat dalam perang terbabit.

 

Sebelum Nabi wafat, beliau tidak berkahwin kerana mahu fokus untuk belajar dengan Nabi, berkhidmat dengan Nabi dan para isteri nabi. Beliau tinggal di beranda masjid Nabi—disebut Ahli Sufah.

 

Selepas kewafatan Nabi, beliau berkahwin dengan seorang perempuan bernama BUSRAH BINTI GHAZWAN.

 

Di era Umar bin al-Khattab menjadi Khalifah, Abu Hurairah dilantik menjadi Gabenor di Bahrain.

 

Semasa dekat saat kematian, beliau ada berpesan agar tidak ada sesiapa pun meratap kematiannya dan beliau minta agar segerakan tanam jenazahnya.

 

Beliau adalah sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis yang al-Zahabi menyatakan, hadis yang Abu Hurairah riwayatkan mencecah angka sebanyak 5374 buah hadis.

 

[PENJELASAN]

Sanad hadis ini adalah KHUMASIYAT, iaitu antara Imam Ibn Majah dan Nabi ada LIMA PERAWI.

 

Hadis ini, Ibn Majah ambil dari ABU BAKAR BIN ABI SYAIBAH yang merupakan seorang perawi kufah.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Hadis ini doif sanad kerana SYARIK adalah seorang yang IKHTILAT selepas dia dilantik menjadi Qadhi di Kufah. Hadis ini pula, yang ambil dari SYARIK adalah ULAMA KUFAH, iaitu ABU BAKAR BIN ABI SYAIBAH.

 

Namun begitu, dari sudut matan hadis, didapati kandungannya bertepatan dengan firman Allah:

 

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (7) – الحشر

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)”

 

Juga selaras dengan hadis riwayat al-Tarmizi:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اتْرُكُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، فَإِذَا حَدَّثْتُكُمْ، فَخُذُوا عَنِّي، فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ»

“Tinggalkan aku akan perkara yang aku tinggalkan. Apabila aku bercakap dengan kamu, maka ambillah kamu dariku. Hanyasanya terlah binasa umat sebelum kamu kerana banyak soalan mereka dan perselisihan mereka terhadap para nabi mereka” (al-Turmuzi, hadis no: 2679[1])

 

Juga selaras dengan hadis ke-2 dalam kitab ini yang akan dibincangkan nanti

 

KESIMPULAN: hadis ini adalah doif pada sanad, tetapi sahih pada matan.



[1] SANAD TARMIZI:

حَدَّثَنَا هَنَّادٌ قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنْ الأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ،

No comments:

Post a Comment

HADIS 18

     IBN MAJAH, HADIS NO: 18   حَدَّثَنَا  هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ  قَالَ: حَدَّثَنَا  يَحْيَى بْنُ حَمْزَةَ  قَالَ: حَدَّثَنِي  بُرْدُ بْنُ س...