Sunday, April 10, 2022

HADIS 3

 

HADIS 3

 

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُومُعَاوِيَةَ، وَوَكِيعٌ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ»

Daripada Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: “barangsiapa yang taat aku, maka dia taat Allah. barangsiapa yang maksiatkan aku, maka dia telah maksiatkan Allah”

 

Status hadis: sahih

 

PENJELASAN HADIS

 

Hadis ini menjelaskan bahawa ketaatan kepada Allah terikat dengan ketaatan kepada Rasulullah saw juga. Dalam erti kata lain, jika seseorang itu hanya mengikut al-Quran, tanpa mengikut hadis nabi, itu masih lagi dianggap tidak mengikuti Allah lagi.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-2, dijelaskan bahawa kebinasaan berlaku pada umat nabi terdahulu kerana mereka menyelisihi dan menyalahi apa yang diajar oleh nabi mereka.

 

Dalam hadis ke-3 ini pula, dijelaskan bahawa umat Nabi Muhammad saw adalah mereka tidak cukup sekadar dakwa ikut al-Quran, tetapi perlu selaras dengan ajaran Nabi Muhammad saw.

 

PENGAJARAN

 

HADIS SELARAS DENGAN AL-QURAN

 

Hadis ini menjadi dalil bahawa sifat bagi hadis adalah selaras dengan al-Quran. Dengan sebab itu, sebarang hadis yang tidak mutawatir, apabila bertembung dengan al-Quran, maka hadis tersebut terdapat beberapa pendapat ulama berikut;

 

PERTAMA: PERLU DITAKWIL

 

Ini adalah pendapat majoriti ulama seperti al-Syafie dan Hanbali. Pada mereka, sesuatu hadis yang bercanggah dengan al-Quran, perlu ditakwil, sama ada dengan pendekatan nasakh, takhsis dan sebagainya.

 

KEDUA: DITOLAK

 

Ini adalah pendekatan Mazhab Hanafi dan Maliki. Pada mereka, jika sesuatu hadis itu bercanggah dengan al-Quran, maka hadis itu pasti lemah dan tidak boleh dibuat sandaran hujah.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[5] ABU BAKAR BIN ABI SYAIBAH

أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ

 

Lihat hadis 1.

 

[4] ABU MUAWIYYAH MUHAMMAD BIN KHOZIM AL-DHORIR (113H-194H)

 أَبُو مُعَاوِيَةَ مُحَمَّدُ بْنُ خَازِمٍ الضرير

 

Dia berasal dari kufah dan berlegar di sekitar Baghdad dan Kufah dan meninggal di Kufah.

 

Ada beberapa kritikan yang dilakukan oleh ulama berkenaan beliau seperti berikut;

 

Pertama, didakwa bahawa beliau seorang penganut Murji-ah. Hal ini mengikut dakwaan ramai ulama seperti Abu Hatim bin Habban al-Basti, Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Zahabi, al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.

 

Lebih berat dari itu, Abu Daud menyatakan bahawa dia adalah ketua penganut Murji-ah di Kufah. Abu Zur’ah al-Razi pula kata, dia bukan sekadar penganut, bahkan menyeru manusia kepada fahaman tersebut.

 

Kedua, didakwa dia seorang mudallis sepertimana kata Ahmad bin Hamzah bin Abi Tahir, al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.

 

Ketiga, didakwa bahawa dia mudhtarib kecuali hadis yang dia ambil dari al-A’mash sahaja, sepertimana kata Ahmad bin Hanbal dan Abdul Rahman bin Yusuf bin Khirash.

 

Keempat, didakwa bahawa dia seorang ada buat silap dan waham dalam periwayatan hadis, sepertimana kata Ibn Hajar al-Asqalani dan Yahya bin Ma’in.

 

Kelima, lebih berat lagi, ada menganggap dia seorang pemungkar hadis, andai dia ambil hadis dari Ubaidullah bin Umar bin al-Khattab, sepertimana kata Yahya bin Ma’in. Dalam kata lain, jika dia ambil hadis dari Ubaidullah, maka riwayatnya itu hendaklah ditolak.

 

Dalam pada itu, terdapat beberapa factor yang menyebabkan riwayatnya diterima dengan alasan berikut:

 

Pertama, dia salah seorang dari rijal kutub sittah.

 

Kedua, beliau diakui seorang yang penghafaz hadis serta tekun, sepertimana kata Abu Hatim bin Habban al-Basti, al-Waqidi dan al-Zahabi.

 

Ketiga, dia disenaraikan juga sebagai salah seorang perawi siqah, sepertimana kata Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.

 

Keempat, yang paling dipercayai adalah apabila dia mengambil hadis dari al-‘Amash (seperti dalam hadis ini), kerana dia amat hafal hadis yang dia belajar dari al-A’mash tersebut. Hal diperakui oleh ramai ulama seperti Ahmad bin Hanbal, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Zahabi, Abdul Rahman bin Yusuf bin Khirash dan Yahya bin Main

 

[4] WAKI’ BIN AL-JARRAH (129-197H)

وَكِيعٌ بن الجراح

 

Berasal dari Kufah dan meninggal di situ. Seorang ulama hadis yang terkenal di Iraq pada zamannya.

 

Beliau merupakan salah seorang guru Imam Ahmad dan imam al-Syafie yang namanya beberapa kali tersebut dalam beberapa syair al-Imam al-Syafie.

 

Menurut Ibn al-Madini, dia ada cenderung kepada syiah, tetapi terlalu sedikit sangat.

Dia merupakan Rijal al-Kutub al-Sittah dan dia adalah perawi SAHIH

 

[3] AL-‘AMASH

 الْأَعْمَشِ

 

Lihat hadis 1 dan 2

 

[2] ABU SOLEH

 أَبو صَالِحٍ

 

Lihat hadis 1 dan 2

 

[1] ABU HURAIRAH

 أَبِو هُرَيْرَةَ

 

Lihat hadis 1 dan 2.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Hadis ini adalah MUTABA-AH ke-2 bagi hadis pertama.

 

[1] SANAD IBN MAJAH

 

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، وَوَكِيعٌ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ

 

[2] STATUS HADIS: SAHIH

 

Hadis ini sahih dengan alasan berikut;

[A] semua perawi hadis ini adalah siqah.

[B] Semua perawi hadis ini adalah rijal al-Bukhari dan muslim.

[C] Matan hadis ini ada dalam sahih al-Bukhari (2957, 7137) dan sahih Muslim (1835)

 

 


No comments:

Post a Comment

HADIS 18

     IBN MAJAH, HADIS NO: 18   حَدَّثَنَا  هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ  قَالَ: حَدَّثَنَا  يَحْيَى بْنُ حَمْزَةَ  قَالَ: حَدَّثَنِي  بُرْدُ بْنُ س...